Saturday, March 04, 2017

Death In Custody - 2 Immigration Officers Found Guilty of Killing Undocumented Migrant?

2 Immigration Officers found guilty for the killing of an undocumented migrant worker 

 

2 pegawai imigresen bunuh Bangla dihukum mati

 
 | March 3, 2017
Mohd Aminuddin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendey Zulkafli, 35, didapati bersalah membunuh pendatang asing tanpa izin Abu Bakar Siddiqe di pantri pejabat Imigresen di Perlis.

bunuh

KANGAR: Dua pegawai Jabatan Imigresen Perlis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang tahanan warga Bangladesh pada 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Aminuddin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendey Zulkafli, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah membunuh pendatang asing tanpa izin Abu Bakar Siddiqe, 45 di pantri pejabat Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini antara 10 malam dan 11 malam pada 29 Oktober 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Abu Bakar dalam keputusannya berkata mahkamah meneliti semua inti pati kes pendakwaan dan menimbangkan pembelaan secara mendalam.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan tiada keraguan munasabah terhadap kes tersebut yang membawa hukuman mati mandatori, dan segala bukti pembelaan dan kenyataan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu.

Kedua-dua tertuduh pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada 1 Oktober 2015, di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Rayuan, dan mahkamah itu membenarkan rayuan serta memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.

Mengikut fakta kes, mangsa yang mengadu sakit gastrik dan meminta ubat daripada pihak imigresen dibawa keluar dari lokap untuk ke pantri oleh tertuduh dan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tertuduh sedang memegang kayu panjang.

Sebaik kembali ke lokap, mangsa memberitahu rakannya di dalam sel dia sakit kerana dipukul anggota Imigresen sambil menunjukkan kesan kecederaan, sedangkan sebelum ke pantri mangsa tidak cedera.

Beberapa hari kemudian kecederaan mangsa semakin parah, lalu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 4 November 2014 dan hasil bedah siasat mengesahkan sebab kematian ialah “multiple blunt force trauma due to soft tissues injuries”.

Ketika Abu Bakar menjatuhkan keputusan itu, kedua-dua tertuduh kelihatan tenang, tetapi ahli keluarga dan rakan sekerja kedua-duanya yang turut hadir dilihat menangis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamatullah Baharudeen.- FMT News, 3/3/2017

No comments: